Tolak UEC.

https://www.facebook.com/100044602112010/posts/399577311539003/
Pagi ini, saya terbaca berita yang sangat mengejutkan di mana ia mengatakan kerajaan bakal mengiktiraf UEC untuk mendapat sokongan undi percaya dari pembangkang, untuk kekal berkuasa melalui persetujuan ‘Confidence & Supply Agreement (CSA)’.

Namun apabila difikirkan semula, ianya bukanlah suatu yang pelik jika ianya benar sekalipun.

Agenda mengiktiraf sijil peperiksaan UEC yang dikelola oleh Dong Zong itu bukan suatu yang asing buat UMNO kerana memang mereka telah meletakkannya sebagai antara janji manifesto Barisan Nasional pada pilihanraya yang lalu jika berjaya berkuasa menjadi kerajaan.

Tetapi tidak sangkalah pula mereka akan menepati janji ini sungguh kerana janji-janji lain untuk agama dan bangsa banyak lagi yang tidak terlaksana pun.

Lagi pun, pembangkang pun pasti tahu yang mereka tidak akan berjaya merampas tampuk pimpinan dengan permainan ‘numbers’ ini. Mereka pun sudah cuba banyak kali sebelum ini namun gagal.

Malah, sekiranya mereka berjaya merampas sekalipun, mereka tidak akan memerintah lama kerana pilihanraya sepatutnya pada tahun hadapan dan pastinya kerajaan itu juga tidak stabil. Ini tidak menguntungkan mereka dan malah mereka perlu menanggung beban yang sangat berat memulihkan ekonomi pasca-COVID nanti.

Maka, pastinya menekan kerajaan untuk merealisasikan agenda-agenda mereka adalah sesuatu yang licik dan ‘bijak’ bagi politik mereka. Mempergunakan kebuntuan politikus Melayu untuk menjadi kambing hitam demi agenda mereka bukanlah suatu yang baharu. Janganlah terjerat dengan taktik ‘Melayu Screw Melayu’.

Apa-apa pun, saya berharap agar Perdana Menteri dan Menteri Pendidikan segera mengeluarkan jaminan yang UEC tidak akan diiktiraf selagi berkuasa… Dan sanggup hilang kuasa jika tidak mengiktirafnya.

Jangan hanya kerana mahu kekal kuasa politik, prinsip digadai begitu sahaja. Ini bukan setakat perihal prinsip, tetapi mengiktiraf UEC adalah satu pengkhianatan terhadap anak cucu, nenek moyang kita, sistem pendidikan dan keharmonian negara.

Aminuddin Yahaya
Pengerusi PEMBELA
8 September 2021

TolakUEC

Rujukan: https://www.samudera.my/uec-bakal-diluluskan-melalui-csa-kerajaan-pembangkang/